MAC 2022

Pembukaan Muzium Budaya Borneo Angkat Martabat Budaya Sarawak


KUCHING: Pembukaan Muzium Budaya Borneo merupakan usaha dalam mengangkat martabat budaya, kebudayaan masyarakat pelbagai bangsa, keturunan dan agama di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, menerusi pembukaan muzium itu, ia boleh memupuk perpaduan kaum dan dipromosikan kepada dunia luar.

“Dalam mempertahankan dan memelihara warisan kita, Jabatan Muzium Sarawak memainkan peranan besar dalam menghubungkan budaya dengan kreativiti. 

“Ini sekaligus menggalakkan pertumbuhan industri budaya dan kreatif di bawah Kementerian Baharu Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Budaya Borneo di sini pada malam Jumaat.

Perasmian pembukaan Muzium Budaya Borneo itu telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama, isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri,  Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan tetamu-tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, muzium yang dibina dengan kos RM323 juta sudah pasti menjadi kebanggaan rakyat Sarawak kerana ia diiktiraf sebagai muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.

Lebih menarik, menjadikan muzium tersebut sebagai ikon Sarawak dan mercu tanda baharu bandaraya Kuching serta bakal menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke negeri ini.

Sementara itu, Premier Sarawak menambah, dengan adanya muzium tersebut ianya akan membantu pembangunan Sarawak dalam menggalakkan peluang pekerjaan serta memberikan impak ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Abdul Karim dan warga kerja Jabatan Muzium Sarawak diatas usaha dedikasi dalam memastikan perasmian muzium tersebut berjalan dengan lancar.

Dalam majlis perasmian tersebut, pertunjukan pemetaan projek dipertontonkan bagi memaparkan sejarah Sarawak. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS